Barbarik Pentas Keras Yang Padat, Sendat dan Sarat Dengan Energi

Janji Joe Branko dan Muss untuk memberikan persembahan yang berkarisma dianggap berjaya. Foto: Maestro Ridzwan.


Kuala Lumpur.

Oleh: Nazrul.

Janji Joe Branko dan Muss untuk memberikan persembahan yang berkarisma sarat dengan energi serta padat dengan momento buat peminat yang dahagakan nuansa rock sebenar telah pun terlaksana.

Buktinya lebih 2500 peminat tegar muzik rock tempatan telah hadir ke konsert Barbarik Pentas Keras yang telah di adakan di Zepp Kuala Lumpur pada 24 Disember lalu. Meskipun rata-rata peminat yang membajiri lokasi konsert berlangsung berusia lebih 30an , namun ianya tidak sedikitpun menghalang minat remaja yang kini turut disuntik aura muzik rock 80an.

Persembahan Joe Branko yang cukup bertenaga. Foto: Maestro Ridzwan.

Tepat jam 8.30 malam Pentas Keras disingkap tirainya dengan monolog yang seakan menyuntik semangat peminat untuk terus terpaku menyaksikan adegan seterusnya. Tanpa banyak bicara Muss, Joe Branko, Ainoll, Adi Yamin dan Rozaimie terus menghambur segala kekuatan menerusi 5 buah lagu yang tiada noktah iaitu Penunggu (Sweet Charity), Wayang Sulit, Julang Timur Tengah, Enigma dan Delilah.

Persembahan bro Muss yang cukup bertenaga membuat penonton puas hati. Foto: Maestro Ridzwan


Mereka seumpama senjata yang memuntahkan pelurunya tanpa belas ihsan, masing-masing punya peranan yang harus dilaksanakan. Meskipun bingit namun ianya bersulam rasa serta terselit nuansa elemen rock analog yang tidak diracuni format digital.

Biru Mata Hitamku, Hati Sulam Lain, 18000 Sayap dan Gegar Gunung Gemora terus berhamburan memenuhi setiap ruang di Zepp Kuala Lumpur. Lebih menarik setiap lontaran vokal Muss pasti disambut oleh fanatika yang merindui album Mr Barbarik dan Biru Mata Hitamku.

Kisah 22 tahun dahulu mula tersingkap sedikit demi sedikit, amarah yang dipendam mula terungkai malah cengkaman mula menakluki jiwa seakan merasuki. Kolaborasi Muss dan Mael menerusi lagu Nasib kita seakan membuka rahsia peribadi Mael.

“Buat pertama kali saya menyanyikan lagu ini secara live di atas pentas setelah lebih 20 tahun saya merakamkan lagu tersebut, lebih istimewa saya dapat beraksi bersama Joe. Lagu ini terdapat dalam sebuah album projek dimana Joe Branko adalah penerbitnya”, ujar Mael XPDC ketika ditemui usai selesai persembahan.

Mael juga turut di jemput membuat persembahan pada Konsert Barbarik ini. Foto: Maestro Ridzwan.

Usai lagu Bukan Kerana Matahari, Muss tampil berduet bersama Asheed Def Gab C menerusi lagu Singa dan Harimau, duo yang punyai keunikan vokal tersendiri.

“Meskipun saya hanya tampil dengan sebuah lagu dalam konsert ini, namun ianya punya cerita tersendiri yang telah lama kami (Joe Branko) simpan. Hari ini saya luahkan melalui konsert yang cukup bermakna”, ujar Asheed.

Asheed juga turut di jemput membuat persembahan pada Konsert Barbarik ini. Foto: Maestro Ridzwan.

Mel juga pernah membarisi Wings sebagai vokalis jadi tidak hairanlah mengapa dia juga tampil di dalam konsert kali ini. Sapu tangan dan Semalam Yang Hangat turut menjadi santapan peminat yang hadir pada malam itu.

Gelap Nan Terang, Teater Mahamega, Blues Ular Sawa dan Padamkan Lampu Tidurmu kali ini menjadi seleksi malah ianya seakan klimaks kepada konsert Barbarik Pentas Keras yang di lihat cukup tenang meskipun adrenalin mengalir deras.

Mel juga turut tidak ketinggalan di jemput membuat persembahan pada Konsert Barbarik ini. Foto: Maestro Ridzwan.


Keupayaan ketukan dram oleh Ainoll sudah tidak perlu di persoalkan, hentakan padu yang diseragami double paddle pasti meletus. Tarian jemari Adi Yamin di atas papan keyboardnya nyata memberikan warna kepada persembahan begitu juga dengan Rozaimie yang hadir dengan gitar bass bercagarkan 6 tali tentunya menghasilkan melodi yang berintonasi.

Joe Branko pula menterjemahkan setiap kata yang berselang dengan rasa menerusi petikan gitarnya yang sudah cukup berindentitikan dirinya sebagai salah seorang gitaris di Malaysia. Meskipun Barbarik Pentas Keras anjuran Anggerik Event ternoktah usai lagu Keris Tak Ada Sarung, namun ianyaseakan ada kesinambungan.

Pentas Keras yang berdurasi dua jam setengah itu sudah pasti meninggalkan momen indah buat peminat setia apatah lagi ianya pertama kali dirialisasikan selepas 22 tahun. Pencahayaan yang menghidupkan suasana juga telah berjaya menaikkan mood rock 80an itu sendiri, meskipun tanpa bantuan LED panel yang kini menghiasi sesebuah pentas.

Comments

Popular posts from this blog

ENAM ARTIS BAKAL JAYAKAN KONSERT MAKAN MALAM (A.M.A.L) ANUGERAH MALAM AMAL LAGENDA

RAMADHAN PREBIU GALERI NOSTALGIA LEGENDA DI PREMIERA HOTEL KUALA LUMPUR

Jadi Muda Dengan Subang, Untuk Subang