Tirai PJ Folklore 2022 Ditutup Wings
Petaling Jaya.
Oleh: Nazrul.
Sekembali mengerjakan umrah, Wings muncul dalam “Konsert Wings Ceritera Rakyat” yang di adakan di Dataran Petaling Jaya, pada 3 Disember lalu.
Konsert tersebut di adakan secara percuma bersempena Festival Folklore Antarabangsa 2022 (PJ Folklore 2022) yang telah berlangsung selama enam hari sejak 28 November lalu.
Jika diikutkan, Konsert Naga Kramat di Zepp Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu adalah penutup tirai persembahan kumpulan dianggotai oleh Datuk Awie selaku vokalis, Edrie (gitar), Black (dram), Syam (gitar) dan Edrie Hashim (gitar) itu. Namun, mereka tidak mahu menghampakan permintaan penganjur iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) biarpun baru sahaja tiba dari Tanah Suci Makkah.
“ Kami merasa cukup teruja kerana pihak MBPJ sudi mengundang kami untuk turut serta dalam festival berbentuk kebudayaan kepada masyarakat, apatah lagi ianya di adakan secara percuma”, ujar Datuk Awie yang ditemui sejurus selepas konsert berlangsung.
“Sebenarnya kami berlima tidak berapa sihat malah saya sendiri telah dimasukkan ke hospital selama 3 hari, namun demi peminat demi janji yang telah di buat dengan MBPJ maka kami laksanakan, ini amanah”, tegasnya
“Apa yang lebih membuat kami tersentuh adalah peminat tidak berganjak untuk terus menyaksikan persembahan kami meskipun hujan lebat. Ianya mengingatkan kami sewaktu merayakan ulangtahun ke 30 tahun yang di adakan di Stadium Merdeka dan juga di Perda yang di adakan baru-baru ini”, tambah beliau.
PJ Folklore 2022 yang memasuki edisi ke 7 mengetengahkan konsep kepelbagaian, keunikan, keharmonian, kesenian rakyat, budaya komuniti tempatan dan antarabangsa, perkongsian ilmu dan ketamadunan negara serta memupuk kasih sayang dan cintakan budaya negara lain.
Festival itu turut membabitkan penyertaan kebudayaan dan pameran dari beberapa negara yang membawakan pelbagai acara percuma seperti PJ Fight Night, Pocket Show, Asian Food Festival, wayang kulit, persembahan kebudayaan rakyat dan dikir barat .
Antara negara yang turut serta termasuklah Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Thailand, Mexico, Sri Lanka, Jepun dan Uzbekistan.
Comments
Post a Comment