Subculture, Gerhana SkaCinta, The Times dan Joanna & Co Bakal Beraksi Di Zepp Januari 2023

“Ini merupakan konsert sulung anjuran Eraventures Events dan ianya merupakan penanda aras untuk kami bergerak dengan lebih jauh lagi di masa hadapan,”..Akmal Muhammad. Foto: Azuddin Ahmad Zin.

Kuala Lumpur.

Oleh: Nazrul.

Sempena kedatangan tahun 2023, pihak Eraventures Events juga akan menganjurkan “Indie Alliance” yang akan mengandingkan empat band yang masih lagi mendukung terma indie meskipun sudah berada di platform yang cukup besar.  Subculture, Gerhana SkaCinta, The Times dan Joanna & Co bakal beraksi di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Januari 2023.

Masing-masing mempunyai populariti tersendiri dalam kalangan peminat, apatah lagi mereka bukanlah asing di kalangan peminat indie.  Kehadiran mereka umpama muzik yang mewarnai sejarah hidup seseorang apatah lagi ramai di kalangan peminat yang membesar dengan lagu-lagu mereka.

“Ini merupakan konsert sulung anjuran Eraventures Events dan ianya merupakan penanda aras untuk kami bergerak dengan lebih jauh lagi di masa hadapan,” ujar Akmal Muhammad ketika sidang media yang di adakan di Restoran Feebay, Avanue K, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Saya pasti ramai di kalangan peminat yang pernah menyaksikan persembahan mereka sebelum ini, namun beraksi atau menyaksikan persembahan di Zepp Kuala Lumpur bakal meninggalkan momen indah buat anda”, ujarnya

"Zepp KL adalah dewan konsert dinamik yang memberikan pemuzik lebih kebebasan untuk membuat persembahan kepada khalayak. Selain itu ianya sebuah dewan yang cukup lengkap dengan peralatan yang melengkapi sesebuah konsert serta sistem bunyi yang cukup hebat.

Meskipun nama Eraventures Events agak hijau dalam arena penganjuran persembahan pentas, namun ianya ditunjangi oleh individu yang cukup luas pengalamannya dalam pelbagai penganjuran acara.  

Kenyataan Akmal turut di sokong oleh Shamsul Kamal Othman wakil dari LampuNeon selaku penganjur bersama konsert Indie Alliance. Pengalaman LampuNeon sewaktu menganjurkan konsert Helloween, Loudness dan Malmsteen dan sebagainya pasti memberi nilai tambah yang positif untuk konsert itu nanti.

 “Keempat-empat kumpulan ini dipilih adalah berdasarkan kepada reputasi, kredibiliti, populariti serta karya bermutu yang mereka telah hasilkan.  Kami juga ingin buktikan bahawa band-band indiependan juga boleh beraksi di pentas Zepp”, ujarnya.

En Akmal Muhamad- COO Eraventures Events. Foto: Azuddin Ahmad Zin.

Joanna & Co, dibarisi oleh Joana Renisa yang bertindak sebagai vokalis, Tengku Sharmizi Tengku Sharif selaku bassis, Mohd Raziz Zainal Abidin selaku gitaris Meor Syafeeq Meor Anas selaku pemain drum.  Band yang berkonsepkan "retro" 1980s pop-rock ini telah ditubuhkan lebih 18 tahun yang lalu.

“Kami berasa cukup bertuah kerana dipilih untuk beraksi bersama dengan kumpulan lain yang mana kami turut membesar dengan lagu-lagu mereka, dan yang pasti Joanna & Co akan memberikan persembahan yang hebat”, ujar Joanna.

Kumpulan Joanna & Co. Foto: Azuddin Ahmad Zin.

Bagi peminat Subculture, pastinya bertuah kerana band yang bernadikan punk rock ini akan merayakan ulangtahun penubuhan mereka yang ke 30 tahun. Kumpulan yang ditunjangi oleh Azreen Akram, Razak Ahmad-gitar, Kabini Rahman – bass dan Meor Syafeeq –drum bakal menyampaikan lagu-lagu yang terdapat dalam album mereka.

“Beraksi di pentas Zepp seumpama mimpi menjadi rialiti buat kami, selain dapat berkongsi pentas dengan sahabat lama kami juga dapat merayakan ulangtahun ke 30 tahun penubuhan Subculture bersama peminat setia”, ujar Azreen.

“Anda wajib datang agar momen-momen indah sewaktu dulu dapat disingkap kembali dan pastinya sesuatu yang cukup isitmewa bakal kami kongsikan bersama anda waktu konsert  tersebut”, tambahnya.

Kumpulan Subculture. Foto: Azuddin Ahmad Zin.

The Times yang kini di barisi oleh Nazaref Mohamad (guitarist), Kabini Abdul Rahman (bassist) dan Jibeng Azlan (drummer) yang kini sibuk untuk menyiapkan album ketiga mereka.

“Kami kini sedang dalam proses untuk merakamkan album ketiga kami, inshaAllah kami akan memberikan yang terbaik untuk Indie Alliance dan had masa selama 1 jam yang diperuntukkan pada kesemua band  sudah pasti memberikan kepuasan buat peminat dan kami khasnya”, ujar Naza.

“Kami pernah berkongsi pentas sebelum ini, tetapi beraksi di Zepp pastinya auranya berlainan dengan membuat persembahan di tempat terbuka”, tambahnya lagi.

Kumpulan Times. Foto: Azuddin Ahmad Zin.

Gerhana Skacinta pula di barisi oleh Edy J – gitaris, Widy  - vokalis, Bakri – drum, Fairus – kibordis, Farin –seksofon, Nadzmi – seksofon, Zul –trumpet dan Skaloot –bassis.

“Kami cukup berbesar hati kerana di satukan dengan band-band yang cukup hebat apatah lagi beraksi di pentas yang cukup hebat.  Ianya sudah pasti dihidangkan dengan sistem bunyi yang cukup hebat”, ujar Edy J.

“Peluang untuk beraksi di Zepp akan kami maksimakan dan gunakan sebaik mungkin.  Banyak band di luar sana yang mengimpikan untuk beraksi di situ, kami berasa cukup bertuah dan berterima kasih kepada pihak penganjur yang sudi mengundang kami”, katanya.

Kumpulan Gerhana Skacinta Foto: Azuddin Ahmad Zin.

Tiket-tiket untuk menyaksikan konsert Indie Alliance telah dijual bermula 26 September lalu.  Harga tiket yang ditawarkan bermula RM160 dan RM200.  Pembelian boleh di buat secara online di myticketempire.com


Comments

Popular posts from this blog

Tirai PJ Folklore 2022 Ditutup Wings

THIS IS THE A.C.A.B. - INDIE NOSTALGIC SHOWCASE 2024

AINAA BEAUTY Lancar Produk Baru Sempena Ulangtahun Kedua