Teguran ‘santai’ Faizal Tahir mudah dihadam


Benar kata Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee, lagu dan irama tidak dapat dipisahkan. Begitu juga dengan kehidupan yang mana tidak pernah sunyi daripada sebarang masalah. Apa yang pasti, setiap yang berlaku itu ada punca di sebaliknya. Tinggal lagi bagaimana cara untuk menangani.

Cuba mengadaptasi daripada apa yang terjadi dari segenap aspek kehidupan hari ini, penyanyi dan komposer terkenal Faizal Tahir sekali lagi ‘bersuara’ menerusi mesej dan nasihat berguna dalam single terbaharu berjudul Santai yang diterbitkan oleh Faithful Music.

Mengingatkan kembali kepada lagu Ragaman yang sarat dengan ‘teguran’ dalam kehidupan berumah tangga antara suami isteri, penghasilan lagu Santai sebuah lagi karya Faizal Tahir bersama Ezra Kong yang pastinya mampu menjentik hati setiap pendengar.

Menurut Faizal, 44, atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir, idea menghasilkan lagu itu hadir secara spontan.

“Idea ini datang secara spontan bersama Ezra Kong sewaktu dia menyebut perkataan santai dalam satu sesi menulis lagu. Idea lirik dan hala tuju lagu secara keseluruhannya adalah berdasarkan sikap kita yang sentiasa tergesa-gesa atau terburu-buru dalam membuat atau mendapatkan sesuatu. Malah, sikap tergesa-gesa manusia ini sudah disebut oleh Allah SWT dalam al-Quran,” katanya.

Sama seperti kebanyakan lagu yang pernah dihasilkan, Faizal tidak hanya memberi fokus kepada komposisi lagu berkenaan, malah mengutamakan mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat.

“Kelebihan lagu Santai ini adalah dalam mesej dan cara penyampaiannya. Lagu ini membawa getaran yang sangat santai dan mudah dihadam berbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Menurut Faizal, kebanyakan lagu yang dihasilkan sejak kebelakangan ini membawa mesej yang dekat dengan kehidupan seharian atau kritikan sosial. Bagi Faizal, ini cara terbaik dalam memberi kesedaran dan nasihat buat diri sendiri seterusnya orang ramai.

“Kita lebih mudah memahami dan menghadam perkara yang lebih dekat dengan kita. Setiap nasihat atau teguran dalam karya saya adalah untuk diri saya sendiri terlebih dahulu.

“Saya harus memahami dan mampu menghadam mesej dari karya saya terlebih dahulu. Itu yang paling penting. Sekiranya pendengar mendapat manfaat dari menghayati karya saya, maka ia satu bonus untuk saya,” katanya.


Berkongsi lanjut mengenai lagu Santai, Faizal kembali bekerjasama dengan Ezra Kong selepas kali terakhir melalui lagu Malaysia (2018) & Kamu (2019).

“Bekerjasama dengan Ezra Kong adalah peluang yang memang sudah lama saya tunggu memandangkan Ezra dan saya masing-masing sibuk dengan komitmen kerja. Dia tahu apa yang dia mahu dan apa yang perlu untuk mendapatkan yang terbaik daripada penyanyi. Memang saya cari peluang untuk bekerja dengan yang terbaik,” katanya.

Dalam masa sama, lagu Santai yang siap dirakam pada Mei lalu bukanlah kesinambungan daripada lagu Ragaman biarpun lirik berunsurkan nasihat.

“Lagu Santai bukanlah satu kesinambungan kepada karya Ragaman. Mesej Ragaman lebih ‘direct’ dan ‘straightforward’ mengenai ragam kehidupan suami isteri. Sementara lirik lagu Santai lebih berkias dan boleh digunapakai dalam apa sahaja situasi kehidupan harian kita,” katanya.

Sementara itu, Ezra yang turut bertindak selaku penerbit lagu Santai ini berkata, ia karya yang cukup dekat dalam kehidupan seharian. Malah, Ezra melihat mesej yang cuba disampaikan dalam lagu Santai ini perlu dijadikan iktibar sekali gus mengelakkan sebarang masalah pada masa akan datang.

“Lumrah kehidupan masa kini membuatkan kita menjadi semakin serakah dan terdesak untuk memperoleh kekayaan dunia dalam waktu yang paling singkat. Sebenarnya, wang ringgit, harta, pangkat, kereta mewah, berpoligami hanyalah selingan sementara daripada kesengsaraan dan realiti yang perlu dihadapi setiap insan.

“Sebab itu dalam lagu ini, Faizal menyeru agar kita selalu santai dan tidak bertindak secara terburu-buru. Kuda yang tua memanglah tak laju seperti dulu, namun tetap ‘steady’ dan padu,” katanya.

Lagu ini boleh didengari disemua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music dan Joox manakala muzik video rasmi pula boleh ditonton di saluran YouTube Faizal Tahir.

Pautan muzik video: https://www.youtube.com/watch?v=8CnrSdDrDyg&ab_channel=FaizalTahir

Comments

Popular posts from this blog

ENAM ARTIS BAKAL JAYAKAN KONSERT MAKAN MALAM (A.M.A.L) ANUGERAH MALAM AMAL LAGENDA

RAMADHAN PREBIU GALERI NOSTALGIA LEGENDA DI PREMIERA HOTEL KUALA LUMPUR

Jadi Muda Dengan Subang, Untuk Subang