KPDNHEP SELANGOR BERSAMA PDRM BUKIT AMAN RAMPAS BARANGAN KES DISYAKI SELEWENG SUBSIDI CECAH RM1.7 JUTA

 


SHAH ALAM, 19 JULAI 2022 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor komited membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan dan subsidi dengan kerjasama strategik agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan keberadaan bekalan barangan tersebut di pasaran dapat dinikmati oleh pengguna di Selangor.

Pada 18 Julai 2022, Pasukan Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Selangor telah menerima satu kes serahan daripada CPSK JKDKA, Polis DiRaja Malaysia, Bukit Aman. Kejadian kes berlaku pada 18 Julai 2022, lebih kurang jam 11.00 malam.

Lokasi serahan dilaksanakan di lokasi serbuan iaitu di sebuah premis bertempat di Kampung Baru Subang, Shah Alam. 



Kes ini adalah aktiviti yang disyaki wujud perlakuan tidak beretika melibatkan barangan kawalan bersubsidi jenis bahan api diesel. Perlakuan tidak beretika disyaki memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah yang membawa kepada tahanan pelaku ditempat kejadian dan sitaan kenderaan serta barangan terlibat.

Tangkapan terhadap pelaku yang disyaki adalah sejumlah sembilan (9) lelaki, lapan (8) daripadanya status warganegara dan seorang lagi warganegara Bangladesh. Kesemuanya ditahan bagi keperluan siasatan lanjut.

Sejumlah enam (6) kenderaan telah disita, iaitu empat (4) buah jenis lori tanker dan dua (2) buah jenis kereta. Turut disita enam (6) tangki minyak diesel berisi dengan anggaran jumlah keseluruhan adalah 40, 300 liter. Berdasarkan siasatan awal di lokasi serbuan, anggaran jumlah keseluruhan minyak diesel yang dirampas (melibatkan kenderaan, tangki minyak yang dijumpai) untuk tujuan siasatan adalah melebihi 100,000 liter dengan anggaran nilai melebihi RM200,000.00.

Lain-lain instrumen/ peralatan relevan dengan siasatan kes ini telah dirampas seperti pam penyedut bahan api termasuk telefon bimbit milik pelaku yang ditahan.

Anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan kes ini adalah RM 1.7 juta.


Hasil siasatan awal, mendapati premis dan pelaku yang ditemui di lokasi kejadian tidak mempunyai sebarang Lesen / Permit / Permit Khas atau Surat Kebenaran dari Pengawal Bekalan bagi berurusan dengan Barang Kawalan Berjadual.

Siasatan akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan potensi kesalahan berikut:-

  a) Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak 3 munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

  b) Seksyen 20 (1), Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan, apa-apa barang kawalan disimpan di manamana premis selain dari premis yang dilesenkan atau premis yang dibenarkan oleh pengawal. 


Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi Satu Juta Ringgit Malaysia (RM 1,000,000.00) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pengarah Penguat Kuasa, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Tuan Azman Bin Adam menegaskan pihaknya, akan bertindak tegas serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan dan subsidi demi kepentingan pengguna.

Beliau juga meminta pengguna untuk menyalurkan maklumat atau sebarang pertanyaan berkaitan perlakuan penyelewengan barangan bersubsidi di saluran rasmi berikut :

i. Whatsapp 019-279 4317/ 019-848 8000

ii. Portal e-aduan.kpdnhep

iii. Call Centre 1-800-886-800

iv. Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my

v. Ez ADU KPDNHEP 

Comments

Popular posts from this blog

ENAM ARTIS BAKAL JAYAKAN KONSERT MAKAN MALAM (A.M.A.L) ANUGERAH MALAM AMAL LAGENDA

RAMADHAN PREBIU GALERI NOSTALGIA LEGENDA DI PREMIERA HOTEL KUALA LUMPUR

Jadi Muda Dengan Subang, Untuk Subang