Search X Akim Bakal Gegar Melaka 10 April Ini


 Meskipun sudah dua kali kerajaan melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai langkah

bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19. Dalam tempoh itu, pelbagai keluhan dapat disaksikan

terutama daripada penggiat seni nyanyian yang tidak dapat beraksi di pentas terbuka seperti konsert

besar dan sesi bertemu peminat.

Sungguh pun sedemikian, kerajaan tetap peka malah memberikan lampu hijau agar penggiat seni

dapat meneruskan kelangsungan hidup namun perlu akur dengan SOP yang diberikan. Bertitik tolak

dari itu maka pihak Playmad Sdn Bhd akan menganjurkan showcase Rockology Malaysian Tour 2021

Search X Akim yang bakal berlangsung pada 10 April ini, jam 9 malam di Waronk Avenue, Melaka.

Pengunduran Amy sebagai vokalis kumpulan rock legenda, Search, Mac tahun alu, tidak

mematahkan semangat band itu untuk meneruskan perjuangan mereka. Showcase Rockology

Malaysian Tour 2021 yang menampilkan kolaborasi Search yang diwakili oleh Din (gitar), Kid (gitar),

Pae (dram) dan Galang (bassist) bersama penyanyi Akim Ahmad.

Meskipun tanpa kehadiran Amy yang di anggap teraju utama kumpulan Search, nama dan legasi

kumpulan itu tidak akan pernah bernoktah. Difahamkan ketiadaan Nasir selaku bassis Search pada

persembahan ini adalah kerana ingin menumpukan perhatian kepada perniagaan yang baru sahaja

beliau ceburi.

“Saya berharap agar peminat menerima kehadiran pemain-pemain baru di dalam Search dan apa

yang saya lakukan adalah untuk memastikan jenama Search itu terus kekal di hati peminat”, ujar Din

selaku gitaris dan wakil kepada Search.

“Muzik adalah kerjaya dan minat saya, Kami mahukan pengakhiran yang baik. Walaupun tanpa

adanya abang Amy, kami akan terus menggerakkan Search. Kami sayang band ini, ke mana saja saya

pergi orang tanya mengenai Search”, ujarnya

“Jadi, ini persembahan Rockology Malaysian Tour 2021 Search X Akim ini bagi mengubat rindu

peminat. Persembahan ini sangat penting, kerana ianya permulaan buat Search untuk kembali.

Harapan saya peminat boleh terima kami walaupun tanpa abang Amy dan Nasir”

“Bagi saya, abang Amy tiada galang ganti. Cuma, saya perlu ‘move on’ untuk teruskan legasi Search.

Sebab peminat masih ada dan saya yakin dengan sokongan diberikan selama ini,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan Akim yang juga vokalis kumpulan Akim & The Majistret, Din berkata

pemilihan dibuat bersama pasukan produksi.

“Kami terlebih dahulu buat perbincangan dengan pasukan produksi. Ada beberapa nama yang di

senarai pendek. Selepas penilaian, suara ramai memilih Akim. Ini bukan penilaian saya seorang”,

tambahnya lagi.

“Cuma, kalau ditanya secara peribadi, pilihan pertama saya adalah Akim. Bagi saya, dia ada karisma

tersendiri selain kredibiliti dimiliki yang mana dia boleh buat lagu. Pendek kata dia ada pakej. Jadi,

beri dia peluang untuk buat persembahan bersama kami. Cuma, jangan bandingkan dengan Amy,”

katanya.

Sementara itu, Akim berkata, dia teruja dan tidak sabar untuk membuat persembahan bersama band

legenda itu.


“Saya terharu dan teruja apabila dipilih untuk bersama-sama menjayakan persembahan ini. Diakui,

Search memang idola saya sejak dari dahulu lagi. Apabila dapat menyanyi dan buat persembahan

bersama, ianya satu penghargaan buat saya”.

“Insya Allah, saya akan cuba berikan yang terbaik. Kepada semua peminat Search jangan lupa

saksikan persembahan kami dan tunjukkan tanda sokongan anda buat kami,” katanya.

Bagi pihak penganjurdari Playmad Sdn Bhd, Abdul Rasyid Rahman atau dikenali sebagai Acid,

persembahan ini adalah sesuatu yang cukup istimewa biarpun dirancang dalam tempoh yang singkat.

“Idea untuk mengadakan persembahan ini tercetus selepas saya menonton temubual dan ‘Jam

Session’ DJ Ismahalil Hamzah bersama Din dan Kid Search secara langsung di Facebook. Berdasarkan

sambutan diberikan, saya yakin Search masih ada aura tersendiri”.

“Jadi, saya terus menghubungi Din untuk mengajaknya datang ke Melaka bagi mendengar cadangan

saya. Malah turut membawanya untuk melihat ruang acara di Waronk Avenue. Pemilihan Waronk

Avenue sebagai ”Warm Up Showcase” Seach X Akim juga membuatkan pemiliknya Johari

Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai Ajo berasa amat teruja kerana ”Disinilah tempat pemuzik-

pemuzik dan karyawan tempatan boleh mempamer, menjual dan mengekspresikan karya mereka”

katanya.

“Alhamdulillah, perbincangan bersama Search selesai dan mereka bersetuju. Selepas berbincang

dengan anggota Search yang lain, Din menghubungi pihak pengurusan Akim untuk mendapatkan

khidmat Akim sebagai penyanyi bagi menjayakan persembahan ini. Alhamdulillah, respon yang baik

diterima daripada pihak Akim,” katanya.

Menurut Acid, jawapan persetujuan yang diberikan Akim membuatkan pihaknya teruja dalam

menjayakan persembahan itu.

Lokasi persembahan itu boleh memuatkan 100 penonton berdasarkan prosedur operasi standard

(SOP) ditetapkan. Tiket dijual pada harga RM100 dan pembeli tiket berpeluang untuk menghadiri sesi

‘meet & greet’ pada 10 April, jam 5.30 petang.

Persembahan berdurasi selama sejam itu bakal menyaksikan Search X Akim mempersembahkan lagu

popular Search.

Rockology Malaysian Tour 2021 bakal diteruskan di beberapa lokasi lain iaitu di Kuala Lumpur (Jun),

Perak (Julai), Penang (Ogos), Johor Bahru (September) dan lain-lain lokasi yang akan dimaklumkan

secara rasmi dalam masa terdekat.

Comments

Popular posts from this blog

ENAM ARTIS BAKAL JAYAKAN KONSERT MAKAN MALAM (A.M.A.L) ANUGERAH MALAM AMAL LAGENDA

RAMADHAN PREBIU GALERI NOSTALGIA LEGENDA DI PREMIERA HOTEL KUALA LUMPUR

Jadi Muda Dengan Subang, Untuk Subang