RUMAH KITA SYURGA KITA KONSERT MUZIK PALING HANGAT!
Konsert Rumah Kita Syurga Kita bahagian satu yang dibawakan
syarikat rakaman 17Eleven Music pada 8 April lalu mendapat sambutan hangat dan
maklum balas positif.
Malah, konsert yang ditayangkan di saluran YouTube Seventeen
Eleven Music itu adalah yang pertama seumpamanya dalam negara sekali gus
memberikan warna baru pada industri hiburan tempatan.
Bukan satu, tapi konsert ini akan dijayakan dalam tiga siri yang
mana bahagian kedua pada 15 April dan ketiga pada 22 April, jam 3 petang di
saluran YouTube sama.
Menariknya, siri dua dan tiga konsert ini mendapat sokongan dan
kerjasama daripada stesen radio popular, Hot FM.
Bertepatan dengan tagline Muzik Paling Hangat, siri dua dan tiga
konsert ini turut menampilkan barisan penyanyi popular dengan lagu hangat
mereka.
Antara yang terbabit pada bahagian kedua konsert ialah Achey
menerusi lagu Yang Terindah, Neon Band (Kaca), Adzrin (Bagai Lagu Indah), Izzal
Anuar (Lumpuh), Adly Sofwan (Agenda) dan Izaan (Merindu).
Bahagian tiga pula antaranya, Farahdhiya, Amylea, Siti Nordiana,
Zulin Aziz, Syafiq Amdoi dan Mimi Manan.
Ketua Program Hot FM, Ainul Farhana Razali berkata, pihaknya
menyambut baik sekali gus memberikan sokongan kepada pihak yang ingin
membawakan hiburan kepada masyarakat melalui platform digital.
“Kita boleh lihat pelbagai pengisian kreatif di platform digital
disajikan artis tempatan dan kami di Hot FM memberi sokongan penuh kepada
mereka yang sama-sama ingin menghiburkan masyarakat melalui platform digital.
“Dengan adanya kolaborasi bersama syarikat 17Eleven Music ini,
kami mengharapkan isi kandungan yang kreatif melalui nyanyian dan temubual
bersama artis, peminat muzik tempatan akan terus berada di rumah untuk berhibur
bersama keluarga.
“Ini juga peluang terbaik kami dan artis untuk terus berkarya
demi peminat mereka pada bila-bila masa,” katanya.
Bagi vokalis Neon Band iaitu Ezwan Ariff, pembabitan mereka pada
konsert ini bukan saja memberikan hiburan, tetapi dapat mendekatkan diri dengan
peminat.
“Kami sangat berbesar hati dapat turut sama dalam Konsert Rumah
Kita Syurga Kita. Kemunculan kami bersama rakan artis di 17Eleven Music pada
konsert ini bukan sahaja untuk menghiburkan peminat muzik yang berada di rumah,
tapi dapat juga membantu artis untuk lebih dekat dengan masyarakat.
“Malah, ia membolehkan kami berinteraksi bersama mereka menerusi
live chat. Semoga konsert ini sedikit sebanyak boleh memberi senyuman kepada
yang menonton nanti.
“Kami juga secara tak langsung ingin memberi pesanan kepada
orang ramai supaya terus berada dan duduk di rumah dan sama-sama kita
memutuskan rantaian wabak Covid-19 ini,” katanya.
Sependapat dengan Ezwan, Siti Nordiana juga menyifatkan konsert
ini adalah platform terbaik buat semua penyanyi menghiburkan peminat yang
rindukan persembahan daripada artis kesayangan mereka.
“Tidak dinafikan, sepanjang PKP ini semua penyanyi tidak membuat
persembahan. Banyak program ditunda dan dibatalkan. Jadi, platform digital atau
laman sosial medium terbaik untuk peminat mendekati artis.
“Jadi, apabila pihak 17Eleven Music dengan kerjasama Hot FM
membawakan siri kedua dan ketiga konsert ini, bagi saya ia sesuatu yang
menarik.
“Saya mengandaikan ia persembahan live kerana turut memberi peluang
peminat menyertai sesi live chat sepanjang konsert berlangsung. Saya juta tidak
sabar nak berjumpa dengan semua peminat yang sering bertanya bila saya nak buat
persembahan lagi.
“Apa pun, kita nantikan 22 April ini dan sebelum itu saksikan
rakan artis lain pada 15 April ini,” katanya.
Terdahulu, menerusi bahagian satu konsert itu, peminat
dihiburkan dengan persembahan daripada Khai Bahar, Dinda Permata, Farisha
Irish, The Mirza dan Kamelia Syermain.
Klik link ini untuk terus ke ‘Konsert Rumah Kita Syurga Kita’
di bawa khas oleh 17Eleven Music dan Hotfm di sokong oleh
Donna, Lunaria dan TheLaki: https://youtu.be/CksemjrbMQU
Comments
Post a Comment