#JANGANKELUAR bawa mesej penting!
Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, rakyat Malaysia sentiasa dinasihati supaya
duduk di rumah bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
Malah, ramai berharap isu ini segera
pulih dan dapat kembali menjalani aktiviti harian seperti biasa. Pendek kata,
segalanya terletak di tangan kita dan pilihan diri sendiri.
Bagi menyokong saranan kerajaan itu,
syarikat rakaman Universal Music tampil dengan projek khas menerusi lagu
berentak hip hop, #JANGANKELUAR.
Menariknya, projek berbentuk kempen
ini menggabungkan 17 penyanyi yang berbeza dari segi genre dan latar belakang
muzik dalam satu lagu.
Antara yang terbabit ialah Shila
Amzah, Yonnyboii, Hafiz Hamidun, Rabbit Mac, Shalma Eliana, Sophia Liana, Alvin
Chong dan Bella Astillah.
Turut serta, Luca Sickta, Kmy Kmo,
Tuju, Kowachee, ASYRFNSIR, Abubakarxli, Siqma, Dolla dan Malik Abdullah.
Kesemua penyanyi melakukan rakaman di
rumah dan tempat sendiri sebelum digabungkan menjadi sebuah lagu.
Malah, setiap penyanyi juga sudah
ditetapkan ‘key’ mengikut bahagian masing-masing yang perlu dinyanyikan.
Berkongsi mengenai #JANGANKELUAR, Luca
Sickta berkata, ia adalah pesanan untuk
orang ramai supaya patuh dengan perintah berkurung dalam menghentikan jangkitan
rantaian Covid-19.
“Lagu ini ialah projek di mana
menggabungkan 17 artis termasuk saya dan Kmy Kmo. Ia adalah pesanan buat orang
ramai supaya patuh dengan perintah berkurung untuk menghentikan jangkitan
rantaian wabak ini.
“Lagu asal dihasilkan oleh Jkei dan lirik
ditulis oleh Yonnyboii dan penambahan lirik daripada saya, Kmy Kmo dan Tuju.
“Lagu ini dihasilkan dengan harapan
supaya orang ramai lebih berwaspada dan tidak mengambil mudah atas apa yang
berlaku sekarang,” katanya.
Menurut Luca Sickta lagi, nyanyian rap
atau Rap Sing dalam lagu itu dinyanyikan penyanyi tertentu.
“Saya boleh katakan, ‘vibes’ lagu ini
lebih kepada urban R&B dan pop. Jadi, setiap penyanyi membawakan dengan
stail dan gaya nyanyian tersendiri tapi mengikut ‘key’ yang sudah ditetapkan.
“Walaupun rakaman dibuat sendiri dan
berasingan, bagi saya ia tidak menjadi masalah. Disebabkan itu, saya
menyifatkan ini projek yang sangat istimewa dari segi lirik, mesej dan penghasilannya,”
katanya.
Sementara itu, penyanyi lagu
ketuhanan, Hafiz Hamidun menganggap pembabitannya sesuatu yang besar.
“Sebagai rakyat Malaysia, tak kira
siapa pun kita, gunakan kepakaran dan kreativiti yang ada. Macam saya penyanyi,
bukan bermaksud tidak boleh sumbang kepada kebaikan.
“Walaupun satu rangkap, tapi saya
anggap ia besar. Apabila dapat demo daripada Universal Music, ini pertama kali
saya menyanyikan genre Hip Hop. Tapi tidaklah terlalu asing. Lagu ini
menampilkan melodi yang segar,” katanya.
Bagi anggota kumpulan De Fam, Sophia
Liana, lagu ini diharap dapat memberi semangat kepada rakyat Malaysia supaya
terus mematuhi saranan kerajaan untuk duduk di rumah.
“Pembabitan saya dalam lagu ini adalah
untuk sama-sama menyanyikan lagu yang dapat meneruskan semangat rakyat Malaysia
untuk duduk di rumah.
“Dengan harapan supaya rantaian wabak
ini dapat diputuskan dengan cepat dan kita dapat kembali kepada aktiviti
seperti sediakala secepat mungkin.
“Ada juga sumbangan yang akan dibuat
untuk projek ini ke badan kebajikan yang diluluskan kerajaan,” katanya yang
membuat rakaman menerusi telefon bimbit.
Pelakon dan penyanyi, Alvin Chong pula
berharap kesedaran untuk duduk di rumah semakin tinggi menerusi lagu itu.
“#JANGANKELUAR adalah lagu yang
dikhaskan untuk mengingati semua orang supaya jangan keluar rumah sesuka hati.
Ramai barisan hadapan sekarang merisikokan nyawa sendiri untuk selamatkan kita
dan mangsa Covid-19.
“Saya berasa sangat gembira apabila
dapat tahu pihak Universal Music Malaysia menawarkan saya untuk terbabit dalam
kempen ini. Salah satu matlamat saya menyanyi ialah untuk memberi semula kepada
masyarakat.
“Tidak dinafikan, kejadian Covid-19
ini memberi banyak kesan kepada orang ramai. Saya berharap perkara ini akan
cepat berlalu dan kita dapat semula kehidupan yang dulu dan lebih selamat,”
katanya.
Lebih hebat apabila projek ini juga
mendapat sokongan daripada Spectrum Outdoor Marketing dan perkhidmatan mudah
alih digital sepenuhnya; Yoodo.
Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun berkata,
projek ini bukan berbentuk hiburan semata-mata, tapi apa yang lebih penting
adalah mesej yang disampaikan.
“Yoodo sangat berbangga menyokong #JANGANKELUAR.
Ia bukan saja membawakan sebuah hiburan yang hebat dan ‘catchy’, tapi juga mesej penting kepada seluruh rakyat Malaysia
terutama dalam keadaan sekarang.
“Bersama-sama dengan projek ini, Yoodo
menawarkan data mudah alih percuma bagi membolehkan setiap orang menikmati
hiburan dan berhubung antara satu sama lain,” katanya.
Lagu #JANGANKELUAR
ini boleh didapati di kesemua pelantar
digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music
bermula 14 APRIL 2020
******************************************
Tentang Yoodo
Yoodo adalah sebuah perkhidmatan mudah
alih digital bebas dalam negara yang dilancarkan pada Januari 2018 dan dimiliki
serta dikendalikan oleh Celcom Axiata Berhad.
Ia menawarkan perkhidmatan mudah alih
pertama yang disesuaikan dalam kehidupan pengguna secara fleksibel dan
kemudahan yang lengkap.
Untuk maklumat lanjut mengenai Yoodo,
boleh terus ke laman sesawang yoodo.com.my atau yoodoMY di laman sosial seperti
Facebook, Instagram, Youtube dan Twitter.
#JANGANKELUAR Konsert Online Streaming di Youtube
Universal Music Malaysia akan
melangsungkan Konsert Online streaming pada 19th April (Ahad) ini di Youtube channel Universal Music
Malaysia yang akan bakal menampilkan barisan artist dari #JANGANKELUAR.
Semasa konsert
ini berlangsung, orang ramai dianjurkan untuk menderma kepada dana Covid-19 di Dana Peduli, Kemanusiaan, Prihatin (PKP) Dato’ Sri Siti
Nurhaliza. Siti Nurhaliza Productions
(M) Sdn. Bhd. telah mengambil inisiatif untuk membantu para pejuang barisan
hadapan dan orang ramai yang terkesan dengan situasi ini melalui pengumpulan
Dana Peduli, Kemanusiaan, Prihatin (PKP) Dato’ Sri Siti Nurhaliza atau secara
ringkasnya dinamakan Dana P.K.P Siti Nurhaliza.
Terdapat tiga objektif di dalam dana
ini:
1. PEDULI- Membantu dapatkan keperluan
dan peralatan di pusat-pusat perubatan yang terlibat menangani Covid-19 (PPE,
topeng muka dan sarung tangan)
2. KEMANUSIAAN- Membantu individu dan
keluarga yang terjejas pendapatan. Bantuan kepada keluarga yang terjejas
pendapatan di samping itu mempunyai anggota keluarga OKU atau penyakit kronik.
3. PRIHATIN- Bantuan khas sempena
bulan Ramadan dan Syawal kepada golongan kurang kemampuan serta rumah-rumah
kebajikan.
Sebagai langkah permulaan, kami
mensasarkan pengumpulan dana untuk keperluan segera dalam kategori Peduli iaitu
sebanyak RM50,000. Jumlah sasaran ini akan dinaikkan dan berterusan
memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan serta banyak jenis
bantuan akan disalurkan.
Mengenai KITAFUND
Kitafund adalah sebuah platform untuk
mengumpul dana ( crowdfunding ) bagi keperluan dan kecemasan perubatan dan usaha
kemanusiaan. Kitafund.com telah dilancarkan pada 10 Mei 2019 dan telah berjaya
“crowdfund” bantuan lebih daripada RM 4 juta untuk 500 lebih benefisiari.
Sebelum Kitafund, team kami telah menjalankan Skolafund.com - platform
crowdfunding yang telah mengumpul dana
biasiswa sebanyak RM 1.8 juta untuk 300+ pelajar yang memerlukan.
Kitafund.com adalah platform yang
dibina dan diurus Kita Global Group Sdn. Bhd. (1343946-D).
*Untuk kempen bencana alam dan
kecemasan (seperti Covid-19), Kitafund tidak mengenakan caj 5% fi untuk
platform. Fi yang perlu dibayar adalah fi payment gateway yang akan ditolak
dari jumlah keseluruhan terkumpul kempen. Apabila seorang penderma menyumbang
di kempen, payment gateway fees yang dikenakan adalah:
Razer (Molpay): RM1/transaction
Paypal: 3.9% + RM2/transaction
E-wallet (Grabpay, boost, TnG): 1.4%
Platform Kitafund dibina bagi memupuk
nilai murni untuk menderma disamping memudahkan orang ramai untuk menyumbang di
atas talian (online) tanpa ragu-ragu.
Bagi warganegara Malaysia yang
berhasrat untuk menyumbang, anda boleh layari laman web rasmi Kitafund di
www.kitafund.com dan pilih kempen ‘Dana P. K. P Siti Nurhaliza’. Bagi
memudahkan pencarian kempen, anda juga boleh memasukkan kata kunci ‘siti
nurhaliza’ atau terus ke link ini: https://kitafund.com/?r=-Y8-F6jWR
Seterusnya, klik butang Sumbang dan
pilih cara pembayaran samada menggunakan Perbankan Atas Talian (Online
Banking), Kad Kredit/Debit/PayPal, ataupun E-Wallet (Boost/GrabPay/Touch ‘n
Go). Bagi yang berhasrat untuk menyumbang tetapi menetap diluar Malaysia, anda
boleh memilih PayPal sebagai mod pembayaran.
Cara untuk Menyumbang ke Kempen ini:
1. Tekan butang “Sponsor”
2. Nyatakan jumlah dana yang ingin
diberikan
3. Pilih cara pembayaran (Online
Banking atau Debit/Credit Card/Paypal).
4. Berikan e-mel untuk menerima resit
dan kemas kini dari kempen ini
5. Tekan butang “Sponsor”
6. Teruskan dengan membuat pembayaran
di laman seterusnya.
Comments
Post a Comment