Penyanyi dan
pelakon, Alvin Chong akan menjalani ujian saringan kesihatan sekali gus
bersedia dikuarantin selama 14 hari selepas tiba dari Amerika Syarikat.
Alvin, 29, berkata
dia akan mematuhi segala arahan yang sudah dikeluarkan kerajaan selepas Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin megumumkan Perintah Kawalan Pergerakan selama
14 hari bermula esok.
"Sekarang
saya dalam perjalanan pulang ke tanah air dari Amerika Syarikat. Saya maklum
berkenaan arahan di keluarkan Perdana Menteri semalam.
"Jadi,
apabila di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) nanti, saya akan
buat ujian saringan kesihatan yang disediakan.
"Saya juga
akan kuarantinkan diri selama 14 hari seperti yang dinasihatkan. Cuma apa yang
dirisaukan sekarang di rumah tidak ada barangan makanan dan keperluan harian.
Apa-apa pun, doakan saya tiba dengan selamat," katanya.
Alvin berada di
sana bagi tujuan percutian peribadi selepas terbabit penggambaran drama.
Alvin yang baru
muncul dengan single Tak Terganti terbitan Universal Music berkata, dia tidak
terlepas daripada menjaga kesihatan sepanjang berada di negara Uncle Sam itu
termasuk ketika berada dalam penerbangan.
"Ketika
berada di tempat duduk pesawat, saya pastikan ia bersih dan 'hygiene' terlebih
dahulu. Malah, saya juga tidak terlepas daripada menggunakan topeng muka, losen
tangan dan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer).
"Jadi, jangan
risau semua. Saya juga tidak mahu ada apa-apa yang berlaku. Jadi, pencegahan
awal itu lebih baik," katanya.
Berkongsi mengenai
video muzik Tak Terganti yang turut menampilkan pelakon, Emma Maembong sebagai
model, Alvin berkata ia maklum balas diberikan sangat positif.
"Saya gembira
dengan sambutan diberikan. Malah, saya berterima kasih kepada semua yang sudah
menonton dan memberikan maklum balas.
"Macam
penyanyi lain juga, saya berharap lagu ini boleh pergi jauh dan menghiburkan
hari-hari anda. Saya juga akan sentiasa belajar dari semasa ke semasa untuk memperbaiki
diri," katanya.
Sementara itu,
seorang lagi artis yang baru pulang dari Amerika Syarikat iaitu Jannine Weigel
turut menjalani tempoh kuarantin.
Jannine Weigel
adalah artis berdarah kacukan Jerman dan Thailand dan bernaung di bawah
syarikat RedRecords iaitu kerjasama antara AirAsia Group dan Universal Music
Group.
"Saya baru
tiba dari Amerika Syarikat dan perlu berada di rumah dan kuarantinkan diri
sepanjang tempoh seminggu ini. Mungkin tidak banyak aktiviti yang boleh dibuat.
"Jadi, sosial
media saya juga tidak banyak yang boleh dimuat naik. Apa yang boleh dikongsi,
saya akan berkongsi kepada anda," katanya.
Comments
Post a Comment