Semangat Zaman Music Entertainment Anjur Konsert The Legend 40 Tahun Rosli Mohalim


Lebih 40 tahun bergelar anak seni dengan memperjuangkan genre blues, pop dan rock, Rosli Mohalim kini boleh berbangga apabila memiliki 10 album selain menjayakan empat konsert mega.

Bagi mengenang jasa dan sumbangannya dalam industri seni tanah air, Semangat Zaman Music Entertainment dengan sokongan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) bakal menganjurkan Konsert The Legend 40 Tahun Rosli Mohalim bagi menghargainya.

Konsert tersebut bakal berlangsung selama 2 jam di Panggung Asia, Gombak, Selangor pada 29 November 2019, bermula 9 malam hingga 11 malam memberi peluang kepada peminat-peminat muzik khasnya Sweet Charity untuk mendengar semula petikan gitar yang akan dipersembahkan oleh Rosli Mohalim.

Pada konsert itu nanti sebanyak 17 lagu akan dinyanyikan oleh tujuh penyanyi tempatan antaranya Zamani, Yabang Khalifah, Ameng Spring, Yazz Abdullah, Ammy Fara dan Zetty Rashid.

Konsert ini juga membawakan penampilan khas penyanyi jemputan, Bob Sentuhan Busker yang terkenal dengan persembahan jalanan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Dalam konsert ini, sebanyak 12 lagu yang dimainkan adalah lagu terdahulu ciptaan Rosli Mohalim dan terdapat empat lagu baharu yang akan dilancarkan di hadapan peminat yang hadir kelak.

 Empat lagu itu adalah 'Ingkar' dan 'Racun' nyanyian Yazz Abdullah serta 'Hilang Gelap' dan 'Negara Tercinta' nyanyian Bob.

Bagi menghiburkan peminat rock, Rosli Mohalim juga mempersembahkan lagu 'Burn' nyanyian asal Deep Purple untuk mereka.

Konsert ini turut mencipta kelainan tersendiri apabila Zamani buat pertama kali akan menyanyikan lagu 'Aku Ingin Berkata' dan 'Sejuta Wajah', yang mana secara kebiasaan penyanyi itu menghiburkan peminat menerusi lagu popular kumpulan Slam.

Antara lagu lain dipersembahkan adalah lagu yang dekat dihati peminat iaitu 'Teratai', 'Kamelia', 'Jangan Tunggu Lama Lama' dan 'Mawar Merah'.


LATAR BELAKANG 


Rosli Mohalim atau nama sebenarnya, Rosli Bin Dollah dilahirkan pada 30 September 1954 dan kini berusia 65 tahun. Beliau adalah pemain gitar utama kumpulan rock terkenal, 'Sweet Charity' yang popular menerusi lagu Teratai, Zakiah, Jangan Tunggu Lama-Lama dan banyak lagi. 

Rosli Mohalim menjejakkan kaki dalam industri hiburan dengan menyertai kumpulan kugiran di era 1960-an, 'The Honey Beats' melalui bapa angkatnya, Encik Awang Bakar di Singapura.

Pada mulanya Rosli Mohalim cenderung untuk bermain dram dan selepas lulus peperiksaan di Sekolah Rendah Clemanti pada 1967, bapa angkatnya menghadiahkan sebuah gitar akustik jenama Rossini.

Sebaik lulus pula pengajian dalam jurusan Seni Halus di Nanyang Academy di Bencoolen Street, Singapura pada 1975, Rosli Mohalim akhirnya menyertai kumpulan 'Sweet Charity' pada 1977.

Biarpun bakatnya ketika awal terarah pada posisi sebagai pemain dram, dia bagaimanapun memberi tumpuan sebagai pemain gitar selepas menyertai kumpulan itu.


SUMBANGAN TABUNG KHAS IRAMA

Melalui jualan tiket konsert ini, pihak penganjur juga berbesar hati untuk memberi sumbangan kepada bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia dan Kosmo yang diberhentikan kerja baru-baru ini akibat masalah syarikat. Sumbangan melalui Tabung Khas IRAMA diharapkan dapat membantu kehidupan mereka yang berdepan perit getir.

Tiket untuk Konsert The Legend 40 Tahun Rosli Mohalim boleh didapati pada harga RM85 dan RM160 telah mula dijual melalui aplikasi Ticket Apps atau di talian Whatsapp 011-20856500. Untuk sebarang pertanyaan lanjut sila hubungi Semangat Zaman Music Entertainment ditalian 019-2063844


Comments

Popular posts from this blog

ENAM ARTIS BAKAL JAYAKAN KONSERT MAKAN MALAM (A.M.A.L) ANUGERAH MALAM AMAL LAGENDA

RAMADHAN PREBIU GALERI NOSTALGIA LEGENDA DI PREMIERA HOTEL KUALA LUMPUR

Jadi Muda Dengan Subang, Untuk Subang