KPDNHEP MEMPERTINGKATKAN PENGUATKUASAAN MEMBANTERAS PENYELEWENGAN DAN PENYELUDUPAN BAHAN PETROLEUM DIESEL DAN RON95 BERSUBSIDI
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memandang serius isu ketirisan barang kawalan/bersubsidi terutamanya ke atas bahan petroleum diesel dan RON 95 bersubsidi yang dilihat semakin berleluasa kebelakangan ini.
Seramai 2,200 anggota penguat KPDNHEP kuasa seluruh Negara digerakkan untuk membuat pemeriksaan dan pemantauan dilapangan setiap hari bagi memastikan bahan petroleum ini tidak diseleweng kepada industri yang tidak layak dan diseludup ke luar Negara. Situasi ini akhirnya boleh menyebabkan berlaku gangguan bekalan di pasaran yang menjejaskan keperluan pengguna tempatan dan beban subsidi yang semakin tinggi akan ditanggung oleh Kerajaan.
Terbaru, satu kes penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah stor haram di Klang Selangor berjaya dipatahkan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya dengan kejayaan merampas sejumlah kira-kira 5,000 liter minyak diesel bersubsidi dan sebuah lori dengan nilai rampasan dianggarkan sejumlah RM37,750.00; satu kes serahan oleh agensi penguatkuasaan disempadan kepada KPDNHEP di Johor melibatkan beberapa lori dan minyak diesel 95,000 liter, wang tunai bernilai 2 RM12,507.00 dengan nilai rampasan dianggarkan sejumlah RM3,018,007.00; satu kes di Kelantan melibatkan sebuah kereta yang diubahsuai tangki dan minyak petrol 68 liter dengan nilai rampasan dianggarkan sejumlah RM 3,000.00 dan satu kes di Labuan melibatkan rampasan minyak diesel bersubsidi dengan nilai rampasan dianggarkan sejumlah RM 430.00.
Berdasarkan statistik penguatkuasaan KPDNHEP kebelakangan ini, berlakunya peningkatan ke atas jumlah kes dan nilai rampasan ke atas bahan petroleum berkenaan dimana bermula 1 Januari sehingga 31 Mei 2022, sebanyak 54 kes telah direkodkan berkaitan petrol RON 95 melibatkan nilai rampasan berjumlah RM 365,116.00 berbanding pada tahun 2021 dalam tempoh yang sama sebanyak 49 kes telah direkodkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM 96,787.00.
Bagi kes yang melibatkan diesel juga turut berlaku peningkatan yang tinggi dimana dalam tempoh yang sama juga, pada tahun 2022 sebanyak 128 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM 3.06 juta manakala bagi tahun 2021 dalam tempoh yang sama pula sebanyak 52 kes melibatkan nilai rampasan berjumlah RM 2.20 juta.
Berdasarkan statistik yang dinyatakan, terdapat peningkatan kes yang ketara bagi diesel dan petrol RON 95 bersubsidi pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya. Antara faktor peningkatan kes tersebut adalah disebabkan perbezaan harga yang ketara antara industri dan subsidi (stesen minyak) serta harga di negara jiran yang lebih tinggi berbanding harga di 3 dalam negara dan ia sekaligus menyumbang kepada meningkatnya aktiviti penyelewengan dan penyeludupuan ke atas bahan petroleum berkenaan.
Bahagian Penguatkuasa akan terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan secara besar-besaran untuk membanteras jenayah penyelewengan dan penyeludupan diesel dan RON95 yang telah menjejaskan bekalan kepada pihak pengguna dan membebankan kewangan Kerajaan daripada subsidi yang terpaksa ditanggung. Dimaklumkan sebanyak 9 buah stesen minyak yang telah diambil tindakan di bawah AKB 1961.
Jaringan kerjasama dengan lain-lain agensi penguatkuasaan di sempadan di darat dan peraiaran Negara seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Anagkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) akan terus diperkukuh dan dipertingkatkan untuk memastikan penyeludupan ke atas bahan petroleum ini dapat dibendung sepenuhnya di sempadan Negara.
Pihak KPDNHEP ingin memberi amaran keras kepada mana-mana individu dan syarikat agar tidak terbabit/bersubahat dengan melakukan aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan/bersubsidi termasuk bahan petroleum bagi mengelakkan dikenakan tindakan yang tegas oleh pihak berkuasa. Mana-mana orang yang melakukan kesalahan tersebut boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun 4 atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).
Selain itu, pihak berkaitan juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apaapa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan barangan kawalan dan bersubsidi.
Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.
Masyarakat disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi terutamanya petrol RON 95, diesel dan LPG bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada Keluarga Malaysia dan negara.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut:
i. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000
ii. Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my
v. Ez ADU KPDNHEP
Comments
Post a Comment